Umum

#Kongsilah – Persediaan Sebagai Seorang Mahasiswa Jurusan Fizik

Kurang dari seminggu tarikh artikel ini dikeluarkan, setiap institusi pengajian tinggi di Malaysia akan menerima pelajar ijazah sarjana muda yang baru. Pasti ramai yang tidak sabar untuk memulakan kehidupan sebagai seorang yang bergelar mahasiswa dan juga mahasiswi. Tidak kurang juga ramai yang merasa gementar dan ragu-ragu untuk memulakan kehidupan baru di alam universiti. Hasil daripada maklum balas pembaca Fiziklah! ramai yang menyatakan rasa tertekan dengan jurusan fizik yang ditawarkan kepada mereka. Oleh itu kami dari Fiziklah! ingin memberikan sneak peek di alam universiti dan juga tips kepada bakal mahasiswa khususnya jurusan fizik.

Fizik. Sudah tentu mereka yang meminati subjek fizik akan memohon jurusan ini sewaktu mengisi borang online UPU dahulu. Ada juga yang memohon jurusan ini kerana tidak tahu apa yang ingin dimohon. Tidak kurang juga ada yang mengisi jurusan fizik kerana sekadar ingin memenuhi kuota borang UPU. Kepada mereka yang mendapat jurusan idaman ini, tahniah kami ucapkan! Kepada yang mendapat jurusan ini bukan di atas kehendak sendiri, tahniah juga admin ucapkan, dan selamat datang ke dunia fizik! Mesti ada lagi yang masih tertanya-tanya, “Fizik ni apa eh?”, “Fizik ni belajar pasal apa?”, “Dah keluar nanti nak kerja apa?”. Jangan risau, semua persoalan ini akan dijawab di dalam artikel ini.

Apa Itu Fizik?
Untuk menjawab persoalan tersebut, anda boleh lihat artikel pertama kami ini. Kami menceritakan apakah itu fizik. Klik pada pautan berikut: https://www.fiziklah.com/2016/12/fizik/

Sumber: www.becbgk.edu

Pembelajaran Fizik.
Fizik adalah ilmu alam. Semua fenomena alam yang terjadi boleh difahami melalui fizik. Sebagai contoh bagaimana terjadinya cahaya, bagaimana terjadinya bunyi, bagaimana kilat boleh terhasil, bagaimana kereta boleh bergerak, bagaimana planet-planet boleh beredar mengelilingi matahari, dan banyak lagi. Melalui fizik kita juga mampu untuk melihat bertapa indahnya susun atur tuhan dan juga penciptaanNya.

Prospek Kerja Bidang Fizik.
Memang tidak dinafikan, ramai yang memilih sesuatu bidang kerana ingin berkecimpung dalam bidang tersebut. Contohnya mereka yang mengambil bidang sains kesihatan / perubatan ingin menjadi seorang doktor. Mereka yang mengambil bidang kejuruteraan ingin menjadi seorang jurutera. Mereka yang mengambil bidang kewartawanan ingin menjadi sorang wartawan. Jadi apa bidang tugas fizik? Kerja apa yang boleh diperolehi melalui bidang ini? Bidang fizik ini sangat luas. Anda boleh bertugas di jabatan-jabatan kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia, Agensi Angkasa Negara, Akedemi Sains Malaysia dan Agensi Nuklear Malaysia.

Anda juga boleh bertugas di balai-balai cerap dan planetarium-planetarium di seluruh Malaysia. Kebanyakkan bidang tugas di dalam agensi kerajaan adalah sebagai seorang pegawai penyelidik atau pegawai sains dan boleh dimohon melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Mungkin anda berminat untuk berkecimpung di dalam sektor industri, anda boleh memohon jawatan Quality Control (QC), Quality Assurance (QA) dan penyelidik (R&D). Selain itu, anda boleh memohon jawatan sebagai seorang jurutera dan kebanyakan syarikat industri menerima graduan fizik untuk memegang jawatan tersebut, namun anda perlu bersaing dengan graduan jurusan kejuruteraan.

Manakala jika anda meminati bidang pendidikan, anda juga boleh memohon jawatan sebagai seorang guru. Untuk menjadi seorang guru di institusi swasta, anda tidak memerlukan sebarang latihan, manakala untuk institusi kerajaan, anda mungkin memerlukan latihan terlebih dahulu sebelum diserap. Kepada mereka yang menerima tawaran bacelor sains dengan pendidikan, anda sememangnya boleh memohon jawatan sebagai seorang guru tanpa memerlukan sebarang latihan. Terdapat juga universiti-universiti awam / swasta yang mengambil graduan lepasan ijazah sarjana muda untuk dijadikan sebagai pensyarah tetapi kebiasaannya untuk sementara (part time) sahaja. Jika cita-cita anda sememangnya ingin menjadi seorang pensyarah maka anda perlulah menyambung pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah (Ph.D.).

Sumber: www.timeshighereducation.com

Tips Bakal Mahasiswa Fizik.
Tips yang bakal kami kongsikan ini mungkin juga boleh digunakan oleh semua bakal mahasiswa, tidak terikat kepada jurusan fizik sahaja, namun tips ini lebih menjurus kepada mereka yang mendapat tawaran untuk menyambung di dalam jurusan fizik.

Tempoh Pengajian.
Tempoh pengajian adalah bergantung kepada universiti. Ada yang menawarkan selama 4 tahun (8 semester), ada yang 3 tahun setengah (7 semester) , ada juga yang menawarkan 3 tahun (6 semester).

Subjek.
Bilangan subjek yang perlu diambil untuk jurusan fizik juga adalah berbeza-beza untuk setiap universiti. Subjek untuk setiap semester juga bergantung kepada setiap universiti. Kebiasaannya pada semester-semester permulaan (1,2, dan 3) pelajar akan cenderung kepada subjek-subjek wajib untuk setiap universiti seperti bahasa Inggeris, Kenegaraan, Tamadun Islam & Tamadun Asia, Hubungan Etnik dan beberapa lagi yang lain. Mungkin anda perlu mengambil 1 atau 2 subjek wajib universiti ini untuk semester-semester awal. Untuk subjek teras pula (subjek jurusan fizik) anda akan didedahkan dengan topik-topik seperti yang anda pelajari di peringkat STPM atau Matrikulasi. Anda juga akan mengambil subjek-subjek matematik seperti kalkulus dan aljabar di awal semester.

Subjek-subjek awal semester ini kebiasaannya adalah subjek prasyarat, subjek yang wajib untuk lulus sebelum dibenarkan untuk mengambil subjek seterusnya. Apabila mendekati kepada pertengahan pengajian anda akan didedahkan dengan subjek-subjek elektif (pilihan). Beberapa subjek fizik dan matematik akan ditawarkan kepada anda, kebiasaannya subjek fizik yang lebih tinggi contohnya, fizik matematik, mekanik kuantum lanjutan, fizik keadaan pepejal lanjutan, astrofizik, dan beberapa lagi, tetapi seperti yang kami beritahu tadi semuanya bergantung kepada universiti anda.

Buku Rujukan.
Seorang mahasiswa tidak lari dengan istilah tugasan (assignment). Kebiasaanya sumber rujukan mereka adalah internet (pakcik google), jarang yang akan merujuk buku. Namun jika anda seorang yang gemar merujuk buku anda boleh dapatkan buku Universiti Physics with Modern Physics keluaran McGraw Hill. Memang buku ni agak tebal, sewaktu kami di universiti dahulu harga buku ini adalah RM99.00, namun yang penting, buku ini boleh digunakan sehingga ke semester ke-4 (dari subjek fizik am sehinggalah ke fizik moden). Jika universiti anda menawarkan subjek kaedah matematik di dalam fizik atau matematik fizik, buku yang sering menjadi rujukan adalah buku Mathematical Methods in Physical Science daripada Mary L. Boas. Untuk subjek mekanik kuantum pula, kami mencadangkan buku Quantum Mechanics Demystified. Jangan segan untuk bertanyakan kepada senior-senior anda jika mereka ingin menjual buku mereka, kebiasaannya buku / nota yang tidak dipakai lagi akan dijual / diberikan kepada pelajar junior. Satu lagi yang ingin kami ingatkan mengenai buku rujukan adalah, kesemua buku-buku ini boleh didapatkan di dalam bentuk elektronik (e-book), jadi be smart!

Latihan Industri.
Latihan industri (internship) adalah tempoh di mana anda akan dikehendaki untuk mencari satu tempat untuk bekerja sama ada selama 2 bulan atau 6 bulan. Waktu latihan industri kebiasaannya pada penghujung pengajian (semester 6 / 8). Ada universiti yang mewajibkan latihan industri ini ada juga yang menjadikannya sebagai subjek pilihan. Kepada mereka yang mendapat universiti yang menjadikan subjek ini sebagai pilihan, nasihat kami adalah ambil subjek ini. Inilah waktu di mana anda akan didedahkan dengan realiti bidang tugas jurusan fizik dan juga realiti sebagai seorang pekerja. Selain itu, anda juga berpeluang untuk diserap terus sebagai seorang pekerja jika prestasi anda baik, selepas anda tamat pengajian nanti.

Sumber: www.adhikinternational.com

Rakan Jurusan / Rakan Kuliah.
Pastikan anda rapat dengan rakan jurusan/kuliah anda. Dengan cara ini, anda tidak akan rasa kesunyian nanti, bak kata orang, zaman universiti semuanya bergantung kepada anda sendiri. Tugasan-tugasan subjek di universiti kebiasaannya adalah dalam bentuk kumpulan. Sudah tentu kita ingin berada di dalam kumpulan pelajar yang kita kenal bukan? Selain itu rakan jurusan yang rapat juga membolehkan kita untuk mengulangkaji untuk ujian dan menyiapkan tugasan bersama, ini adalah kerana anda akan sentiasa bersama dengan rakan-rakan jurusan anda di dalam satu kelas yang sama untuk semester-semester awal ini. Yang paling penting, jangan salah dalam berkawan.

Sumber: www.upm.edu.my

Nikmati Kehidupan Mahasiswa.
Zaman mahasiswa adalah zaman yang menghubungkan di antara zaman remaja dan zaman dewasa. Mungkin anda fikir 4 tahun itu adalah tempoh yang lama, tetapi percayalah ianya satu tempoh yang sangat singkat. Zaman universiti pada pendapat admin adalah zaman yang penuh dengan peluang, peluang untuk mendapatkan pengalaman baru, peluang untuk mendapatkan kenalan baru dan peluang untuk merasai kehidupan yang baru. Jika 4 tahun tersebut tidak digunakan dengan betul mungkin anda tidak dapat merasai apa itu zaman universiti. Jadilah seorang mahasiswa yang proaktif dengan menyertai program-program anjuran universiti seperti kesukarelawan, kesukanan, kesenian, outdoor disamping fokus dalam pembelajaran. Akan tetapi anda haruslah tahu  bagaimana untuk menyeimbangkan di antara kurikulum dan juga kokurikulum. Lihat kembali apakah objektif anda untuk memasuki universiti.

Setakat tu sahajalah yang ingin kami kongsikan kepada anda selaku graduan fizik di sebuah universiti tempatan. Tidak perlu rasa gementar kerana tiada apa yang menakutkan di universiti dan juga jurusan fizik ini. Jika anda dapat tanamkan sifat mencintai ilmu di dalam diri maka tiada subjek yang susah. Selamat berjaya kami ucapkan kepada semua bakal mahasiswa dan selamat datang ke alam universiti!

Sekian, apa lagi?
Fiziklah!

Admin Z

Salah seorang daripada 2 admin Fiziklah! Itu je kot. LOL!

Artikel Berkait

Back to top button