Mekanik Klasik

Lumba 100 meter: Usain Bolt vs Cheetah vs Burung Falcon

Salam sejahtera semua warga Malaysia dan dunia amnya. Saya tertarik untuk menulis artikel ini kerana maklumat yang akan kita dapat sangat dekat dengan sekeliling kita. Saya mendapat idea ini kerana bapa saya selalu menguji saya berkaitan ilmu fizik. Suatu ketika dalam perjalanan kami dari Melaka ke Johor, bapa saya bertanya berapakah masa yang dicatatkan oleh Cheetah yang berkelajuan 120 km/j dalam jarak 100m. Kemudian, bapa saya memecut keretanya dengan kelajuan 120 km/j dan memberitahu saya bahawa inilah kelajuan seekor cheetah. Hal ini membuatkan saya begitu teruja dengan pengalaman saya itu. Jadi mari kita lihat perbandingan pelari terpantas dunia, haiwan darat terpantas dunia dan burung terpantas di dunia dari segi kelajuan mereka.

Usain Bolt

Usain Bolt | Sumber:https://edition.cnn.com/2016/07/22/sport/usain-bolt-olympic-games-rio-2016-russia-ban/index.html  

Tanggal 16 Ogos 2009 di Kejohanan Olahraga Dunia yang diadakan di Berlin, Jerman, pelari Jamaica, Usain Bolt telah memecahkan rekod dunia dalam acara 100 meter balapan. Usain Bolt mencatat masa 9.58 saat mengatasi pencabarnya yang lain. Rekodnya kini sudah hampir mencecah usia sembilan tahun dan masih belum dipecahkan sehingga kini (Mei 2018 ketika artikel ini ditulis). Jadi, berapakah purata kelajuan yang telah dicatatkan oleh beliau ketika itu? Mari kita menggunakan rumus fizik yang sesuai untuk merungkai berapakah purata kelajuan Usain Bolt.

Kelajuan = jarak/masa

Di sini, jika kita lihat masa yang telah dicatatkan oleh Usain Bolt, beliau mencatat masa 9.58 saat dan jarak perlumbaan ialah 100 meter. Justeru, kita sudah mendapat maklumat berkaitan masa dan jarak. Setelah dikira:

Kelajuan = 100 m/9.58 s

Jadi, purata kelajuan Usain Bolt ketika beliau berlari ialah 10.44 m/s. Untuk lebih mudah memahami unit yang biasa kita gunakan, mari kita tukar unit kepada km/j. 10.44 m/s jika kita tukar kepada km/j, maka purata kelajuan Usain Bolt ketika itu ialah 37.58 km/j. Begitu laju bagi seseorang manusia biasa. Namun, itu hanya purata kelajuan Usain Bolt. Kelajuan maksimum Usain Bolt ketika berlari yang telah dicatatatkan ketika itu ialah 44.72 km/j. Sekiranya Usain Bolt mengekalkan kelajuan maksimum itu dari permulaan sehingga tamat perlumbaan, beliau boleh mencatat masa 8.05 saat. Sekiranya anda ingin merasai betapa lajunya larian Usain Bolt, anda boleh mencuba dengan menunggang motosikal anda dengan kelajuan Usain Bolt (44.72 km/j).

Video Usain Bolt di Berlin 2009 | Sumber: https://www.youtube.com/watch?v=3r03gM07NTQ

Cheetah

Cheetah merupakan haiwan darat yang terpantas di dunia. Kelajuan maksimum cheetah yang pernah direkodkan ialah 120 km/j. Justeru, dengan kelajuan sebegitu, mari kita lihat berapakah catatan masa cheetah untuk jarak sejauh 100 meter. Sekiranya cheetah mengekalkan kelajuan maksimum tersebut (120 km/j):

Kelajuan = jarak/masa

120 km/j = 0.1 km (100 m ditukar unit kepada km)/masa

Masa = 3 s

Wow. Cheetah hanya mengambil masa selama 3 saat sahaja untuk berlari 100 meter dengan kelajuan sebegitu. Maka kita boleh bandingkan betapa lajunya cheetah berbanding manusia terpantas di dunia, Usain Bolt.

Cheetah | Sumber: https://news.nationalgeographic.com/2016/01/160122-cheetahs-animals-science-fastest-cincinnati-zoo/

Burung Falcon

Burung Falcon atau nama sebenarnya Peregrine Falcon merupakan burung pemangsa. Berkelajuan 389 km/j, burung ini merupakan burung yang paling laju di dunia. Ketika menjunam, burung ini mampu terbang dengan berkelajuan melebihi 300 km/j dan ia hampir sama dengan kelajuan maksimum kereta Formula Satu (F1). Burung ini mempunyai sayap yang lebar yang membantu ia terbang dengan laju dan memudahkan ia menangkap mangsanya, burung kecil. Jadi, dengan kelajuan maksimum 389 km/j, mari kita lihat catatan masa burung ini dengan menggunakan rumus fizik.

Kelajuan burung: 389 km/j atau 108.06 m/s

Masa = jarak/ kelajuan

Masa = 100 m/108.06 m/s

Masa = 0.93 saat

Wow, bermakna burung falcon ini mampu terbang dengan jarak 100 meter di bawah 1 saat.

Burung falcon | Sumber: https://www.worldatlas.com/articles/the-fastest-birds-in-the-world.html

Jadi kita dapat lihat di sini, burung Falcon mampu terbang dengan jarak 100 meter hanya mengambil masa selama 0.93 saat, manakala Cheetah dan Usain Bolt masing-masing mencatat masa 3 saat dan 9.58 saat. Kelajuan ketiga-tiga mereka sangat mengujakan.

Di bawah ini ialah gambaran kedudukan di dalam acara 100 meter yang saya sunting sendiri.

Urutan pelumba lari 100 m yang tiba di garis penamat

Secara kesimpulannya, ternyata ketiga-tiga mereka berada di dalam kelas yang tersendiri. Melalui perkara ini, kita sebenarnya boleh mengaplikasikan ilmu fizik di dalam kehidupan harian kita. Semoga ilmu yang kita pelajari dapat kita manfaatkan untuk apa jua perkara yang berguna. Jadi pemenangnya ialah burung Peregrine Falcon!

Apa lagi, Fiziklah!

Sumber:

  1. https://edition.cnn.com/2016/07/22/sport/usain-bolt-olympic-games-rio-2016-russia-ban/index.html
  2. https://news.nationalgeographic.com/2016/01/160122-cheetahs-animals-science-fastest-cincinnati-zoo/
  3. https://www.worldatlas.com/articles/the-fastest-birds-in-the-world.html
  4. https://www.youtube.com/watch?v=3r03gM07NTQ

Artikel Berkait

Anda juga mungkin meminati
Close
Back to top button