Bermula pada tengah malam semalam waktu Malaysia, Amerika Syarikat telah menyaksikan fenomena gerhana matahari penuh (total solar eclipse). Ini adalah gerhana matahari penuh yang pertama selepas 38 tahun, kali terakhir adalah pada 26 Februari 1979. Apa yang menarik juga mengenai gerhana ini adalah ianya berlaku dari pantai ke pantai (coast to coast). Kali terakhir Amerika Syarikat menerima gerhana matahari dari pantai ke pantai adalah pada 99 tahun lepas. Gerhana ini melintasi 14 buah negeri, bermula dari Oregon dan berakhir di South Carolina.
Bermula dari jam 12 tengah malam waktu Malaysia, NASA telah melancarkan siaran langsung liputan cerapan gerhana di beberapa buah negeri yang berada di dalam laluan gerhana tersebut. Memandangkan ramai penduduk negara tersebut yang belum pernah melihat gerhana maka ramai yang telah menghadiri program-program cerapan yang dianjurkan. Dengan kata lain, fenomena ini mendapat sambutan yang sangat hangat dari orang ramai. Untuk melihat siaran ulangan liputan tersebut, boleh klik pada pautan berikut: https://www.nasa.gov/eclipselive/#NASA+TV+Public+Channel
Sentuhan Pertama.
Kawasan yang pertama menerima gerhana tersebut adalah di Oregon, terletak di pantai barat negara tersebut. Ramai yang telah hadir untuk menjadi dalam kalangan orang yang pertama melihat kejadian gerhana tersebut. Kira-kira pada jam 10 pagi (1 pagi waktu Malaysia), bulan sudah kelihatan menutupi lebih separuh dari matahari, matahari kelihatan seperti sabit. Ini menandakan totality (bulan menutupi matahari sepenuhnya) akan berlaku tidak lama lagi.
17 minit kemudian berlakulah sentuhan pertama (first contact) bayang umbra dari bulan ke kawasan Oregon. Hasil daripada litupan matahari oleh bulan dapat dilihat dengan membuka filter / cermin mata. Cahaya-cahaya putih di sekeliling bulan itu adalah corona, aura plasma yang berada di sekliling bintang termasuk juga matahari kita ini. Gambar ini diambil daripada pesawat G-III yang digunakan untuk mencerap gerhana dari paras yang tinggi untuk mengelakkan daripada gangguan awan.
Gambar berikut adalah apa yang dapat dilihat menggunakan lensa kamera / binocular tanpa menggunakan sebarang penapis (filter). Walaupun sudah dilindungi oleh bulan, aura plasma yang mengelilingi matahari masih lagi terang. Ini adalah apa yang kita nampak pada visible spectrum (mata kasar). Waktu yang paling selamat untuk melihat secara terus ke arah matahari adalah sewaktu berlakunya totality, kerana matahari sudah dilindungi sepenuhnya oleh bulan. Totality di Oregan berdurasi cuma 40 saat sahaja.
Apabila bulan melepasi matahari dan matahari mula terdedah, cahaya yang sangat terang akan kelihatan, dan ini dinamakan sebagai fenomena Diamond Ring. Fenomena ini menandakan bahawa cahaya matahari sudah kembali dan filter / cermin mata harus dipakai semula untuk kembali menyaksikan bulan melintasi matahari.
Inilah 40 saat yang sangat bermakna kerana ini adalah gerhana matahari penuh yang pertama dilihat dengan mata sendiri oleh kebanyakkan penduduk di kawasan Oregon. Selepas melintasi Oregon, banyang bulan (umbra) meneruskan perjalanan ke Idaho, Wyoming, Nebraska, Missouri, Kentucky, Tennessee, dan berakhir di South Carolina, kawasan pantai timur di Amerika Syarikat. Gerhana di kawasan Kentucky adalah gerhana yang maksima, di mana totality berdurasi selama 2 minit 40 saat, totality yang paling lama untuk gerhana kali ini. Setelah meninggalkan tanah Amerika Syarikat, bayang umbra meneruskan berjalanan ke lautan atlantik sebelum gerhana berakhir berdekatan kawasan pantai barat benua Afrika.
Kajian-Kajian yang Dijalankan
Elemen Berdasakran Spektrum.
Gerhana bukan sahaja untuk ditatapi tetapi pelbagai kajian turut dijalankan semasa berlakunya gerhana. Antara kajian yang dijalankan adalah spectograph matahari, kajian ini dijalankan untuk mengetahui komposisi permukaan matahari. Berikut adalah spektrum yang dilihat sewaktu menghampiri totality, cahaya matahari diserakkan dan elemen-elemen dapat dilihat berdasarkan spektrum.
Cuaca Angkasa (Space Weather).
Secara ringkasnya keadan yang berlaku di angkasa disebabkan oleh Matahari dipanggil sebagai cuaca angkasa, jadi Matahari perlulah dikaji bagi memahami keadaan-keadaan yang berlaku di angkasa. Cuaca angkasa dikaji oleh SDO (Solar Dynamic Observatory) dengan melihat suar matahari (solar flare) dan Coronal Mass Ejection (CME). Kajian ini dilakukan berdasarkan data dan gambar yang dibekalkan oleh kapal angkasa Solar and Heliospheric Observatory (SOHO). suar dan CME ini sangat susah untuk dilihat kerana kecerahan matahari walaupun di angkasa. SDO telah mengkaji berdasarkan model gerhana buatan (artificial eclipse) sahaja. Maka apabila berlaku gerhana matahari, ini lah peluang yang dinanti-nantikan oleh SDO untuk mengkaji suar dan CME ini kerana ianya lebih jelas, tulen dan realistik berbanding model.
Tingkah Laku Haiwan.
Para saintis juga ingin mengetahui adakah fenomena gerhana ini memberikesan kepada organisma hidup, contohnya haiwan. Sewaktu gerhana tersebut, sekumpulan saintis di kawasan Tennessee telah mengkaji tingkah laku lembu-lembu di sebuah ladang. Lembu-lembu tersebut telah dinomborkan bagi merekod tingkahlaku individu setiap lembu sewaktu gerhana. Bukan itu sahaja, ayam juga akan berkokok sewaktu gerhana, manakala cengkerik akan berbunyi kerana menyangka bahawa waktu gerhana adalah waktu malam.
Hear the crickets? During totality of #SolarEclipse2017 the crickets begin to chirp because they think it’s night: https://t.co/cOKssim1bY pic.twitter.com/sztula7lkD
— NASA (@NASA) August 21, 2017
Matahari Pada Spektrum Berbeza.
Kedangkala apabila kita lihat gambar matahari di internet dan di kaca televisyen, kita akan nampak ada yang berwarna kemerahan, kekuningan, oren, malah ada yang berwarna biru dan hijau. Ini adalah kerana penapis (filter) yang dipakai membolehkan matahari dilihat dari pelbagai spektrum. Sedia maklum mata manusia hanya boleh melihat di dalam visible spectrum sahaja, tetapi matahari mengeluarkan sinaran pelbagai spektrum. Contoh gambar ini adalah apabila matahari dilihat dengan menggunakan penapis Calcium K.
Fenomena-Fenomena Semasa Gerhana
Ada di antara fenomena-fenomena yang berlaku sewaktu gerhana telah diterangkan di dalam artikel terdahulu. Contohnya sperti bayang menjadi bentuk bulat, cincin dan sabit. Namun masih terdapat pelbagai lagi fenomena yang berlaku sewaktu gerhana.
Keadaan Gelap & Suhu Menurun.
Sewaktu totality, langit akan menjadi gelap seakan-akan senja, malah ada yang seperti malam. Bukan itu sahaja, disebabkan sumber haba dilindungi oleh bulan, maka suhu akan menurun. Sewaktu gerhana tersebut penurunan suhu sebanyak 11 degrees Fahrenheit / 6 degrees Celsius telah dicatatkan di Wyoming.
Bailey’s Beads.
Bailey’s Beads adalah fenomena sedikit cahaya matahari kelihatan di celah-celah permukaan bulan (dalam bentuk biji-biji guli). Ini adalah disebabkan oleh permukaan bulan yang tidak rata (bergunung-ganang dan berkawah). Cahaya yang tidak terhalang dan melepasi permukaan yang tidak rata tersebut akan dapat dilihat beberapa saat sebelum dan selepas totality.
Photobomb oleh ISS.
Semasa gerhana sedang berlaku, kelihatan International Space Station (ISS) melintasi matahari. Transit tersebut berjaya dirakam, dan berikut adalah video ISS melintasi matahari sewaktu gerhana semalam.
Sewaktu lintasan tersebut, ISS telah merakam buat julung-julung kalinya bagaimana gerhana jika dilihat dari angkasa.
Pelbagai lagi fenomena dan eksperimen yang dilakukan semasa kejadian gerhana tersebut, tapi yang penting, mereka tak buat eksperiment telur berdiri.
Gerhana ini sememangya mendapat liputan yang sangat meluas, tak kira dari Amerika Syarikat sendiri mahupun negara-negara lain. Gerhana seterusnya yang akan dapat disaksikan di negera tersebut adalah pada tarikh 8 April 2024, dimana umbra akan melalui dari Mexico, memasuki kawasan Texas sehingga ke Maine, dan akan berakhir di lautan atlantik.
Walau bagaimanapun, yang kita nanti-nantikan adalah gerhana annular yang boleh dilihat di bahagian selatan Malaysia pada tahun 2019 nanti. Mana tahu masa tu Fiziklah! mampu buat siaran langsung sendiri kan? Haha! Sekian sahaja untuk artikel kali ini.
Apa lagi?
Fiziklah!