Browse By

Kes Pembunuhan Dato’ Azam (Kes Selesai!)

Artikel ini merupakan jawapan penyelesaian bagi kes pembunuhan Dato’ Azam. Jika anda belum membaca laporan kes, klik sini.

Jangan baca jawapan penyelesaian ini selagi anda tidak cuba menyelesaikan kes ini sendiri!

Amaran: artikel ini mengandungi pengiraan matematik yang lebih-banyak-daripada-biasa. Budi bicara pembaca adalah amat diharapkan.

Seperti yang dinyatakan oleh catatan makmal forensik, si mati diracun supaya fokus pemanduannya terganggu dan menyebabkan beliau kemalangan. Selepas kemalangan, si mati yang tercampak keluar masih tidak menemui ajal. Melihat keadaan itu, pembunuh mengambil keputusan untuk menamatkan riwayatnya dengan menembak si mati dengan pistol miliknya.

Bagi menyelesaikan kes ini, tiga bahan bukti perlu dianalisis. Satu bahan bukti akan menyingkirkan seorang suspek, maka, jika anda dapat menyelesaikan tiga bahan bukti, tiga orang suspek akan disingkirkan dan yang tinggal adalah pembunuh! Mudah, bukan?

Bahan bukti pertama: ais yang mencair

Pernyataan “..teh ais limau yang sejuk telah diminum separuh oleh si mati serta mempunyai sisa ais yang mencair..” adalah kunci utama bagi menganalisis bahan bukti ini. Bagaimana si mati boleh meminum minumannya hampir separuh tetapi tiada kesan dalam masa sejam pertamanya di dalam kereta? Untuk melaksanakannya, pembunuh menggunakan kiub ais yang mengandungi racun di dalamnya dan diletakkan ke dalam minuman si mati. Kiub yang baru dan masih beku tidak dapat membebaskan racun di dalamnya, tetapi setelah beberapa ketika, setelah kiub ais mencair, barulah minuman si mati dapat diracun. Kita tidak diberikan maklumat bilakah si mati mula memandu kenderaannya dan berkemungkinan besar berjumpa dengan pembunuhnya sebelum itu – maka, kita perlu mencari waktu ini berdasarkan suhu ais dan kadar pencairan ais.

Kuasa (power) dapat dicari oleh rumus, P = E / t, di mana E adalah tenaga dan t adalah masa. Sekiranya kita dapat mengira P dan E, maka, masa (t) yang telah berlalu daripada ais mula diletakkan sehingga waktu kejadian dapat dikira.

Pertama, kirakan jumlah haba yang mengalir dari luar ke ais. Ais mempunyai suhu -20 °C pada awalnya (saya tahu, adalah tidak logik untuk kita mengetahui suhu awal ais, tetapi anggap sahajalah ini adalah untuk tujuan pendidikan :p), selepas beberapa ketika, suhunya meningkat kepada 0 °C  dan mula mencair kepada air. Air berada pada suhu 0 °C semasa mayat ditemui. Untuk menaikkan suhu ais, haba yang diperlukan dapat dikira dengan:

Q = mcθ

Masukkan nilai,

Q = (40 g)(4.186 J/g °C)(0 °C – (-20) °C)

Q = 3,348.8 J

Kemudian proses pencairan berlaku. Semasa ais mencair, tiada sebarang peningkatan suhu. Haba yang diserap digunakan sepenuhnya untuk memutuskan ikatan antara molekul ais bagi menukarkan bentuk pepejalnya kepada cecair. Haba pendam pelakuran yang diserap dapat dikira dengan:

Q = ml

Masukkan nilai,

Q = (40 g)(334 J/g)

Q = 13,360 J

Kirakan masa yang diperlukan bagi proses pemanasan dan pencairan ini berlaku:

t = E / P

Masukkan nilai P iaitu kuasa atau kadar pengaliran haba, dan nilai E iaitu hasil tambah dua nilai Q tadi,

t = (3,348.8 J + 13,360 J) / 2.5 W

t = 6,683.52 s = 111.392 minit ≈ 1 jam 52 minit

Bedah siasat mendapati si mati diracuni pada jam 5.05pm. Maka, ais yang beracun diletakkan ke dalam minuman 1 jam 52 minit sebelum itu. Waktu tersebut adalah 3.13pm. Rujuk waktu alibi para suspek – hanya Kamel Ariffin yang dapat membuktikan alibinya pada waktu itu. Maka, beliau disingkirkan dari senarai suspek.

Kamel Ariffin

http://combiboilersleeds.com/

Bahan bukti kedua: kesan tapak kasut

Sepasang kesan tapak kasut ditemui berdekatan dengan mayat si mati. Bahan bukti ini berguna untuk mencari jisim pembunuh. Bagaimana? Rumus yang mengaitkan tekanan (P), daya (F) dan luas (A) adalah seperti berikut: P = F / A. F adalah daya graviti (juga dikenali sebagai berat, W) yang berhubungkait dengan jisim seperti berikut:

W = mg

g adalah pecutan graviti; kita ambil g = 10 m/s² bagi permasalahan ini. Maka, untuk mencari F; A dan P perlu dikira terlebih dahulu. A dengan mudahnya diperoleh daripada lakaran tapak kasut yang disertakan – A = 25 petak x 2 tapak x 2 cm x 2 cm = 200 cm² = 0.02 m². P boleh didapati daripada jadual yang mengaitkan tekanan (kPa) dan kedalaman benaman tapak kasut (cm).

Jika tekanan 19.5 kPa menghasilkan kedalaman 1.5 cm, berapakah tekanan yang dikenakan untuk menghasilkan kedalaman 2.5 cm hingga 2.7 cm? Gunakan perkaitan ini untuk mengira:

19.5 kPa / 1.5 cm = P1 / 2.5 cm

P1 = 32.5 kPa

Kirakan juga,

19.5 kPa / 1.5 cm = P2 / 2.7 cm

P2 = 35.1 kPa

Ini bermakna, berat pembunuh mengenakan tekanan sebanyak 32.5 kPa hingga 35.1 kPa; dengan maklumat ini, berat pembunuh dan seterusnya jisimnya dapat dikira:

F = PA

F1 = (32.5 kPa)(0.02 m²) = 650 N

F2 = (35.1 kPa)(0.02 m²) = 702 N

Jisim dapat dikira dengan membahagikan berat dengan 10 m/s². Oleh itu, jisim pembunuh adalah dalam lingkungan 65.0 kg hingga 70.2 kg. Disebabkan Datin Suhaila Samad cuma berjisim 63 kg, maka, beliau dapat disingkirkan dari senarai suspek.

Datin Suhaila Samad

http://www.storibriti.com/

Bahan bukti ketiga: tembakan pistol

Peluru jenis 9 mm dikeluarkan dari tubuh si mati, pada kedalaman 11.4 cm dari kulit si mati.  Daripada luka tembakan ini, maklumat mengenai senjata yang digunakan dapat dicari. Perhatikan bahawa setiap suspek disertakan maklumat mengenai momentum tembakan maksimum yang boleh dihasilkan oleh pistol milik masing-masing. Momentum (p) adalah berkaitan dengan jisim (m) dan halaju (v) mengikut rumus:

p = mv

Disebabkan jisim peluru telah diberi iaitu 4.20 g (=0.0042 kg), dengan mencari halaju tembakan peluru, momentum pistol yang digunakan dapat dicari dan seterusnya dipadankan dengan pemiliknya.

Peluru ditembak dan keluar daripada muncung pistol pada halaju yang tak diketahui; dengan mengabaikan geseran antara peluru dan molekul udara, peluru dianggap tidak memperlahan semasa di udara, maka, halaju terus malar sehinggalah ia tiba di permukaan luar tubuh si mati. Peluru memperlahan dengan nyahpecutan, a = -2,500,000 m/s². setelah menembusi daging dan organ dalaman sepanjang 11.4 cm (atau 0.114 m), peluru berhenti, iaitu halaju akhir, v = 0 m/s. Dengan menggunakan salah satu daripada empat persamaan gerakan (equations of motion), halaju awal (u) dapat dikira:

v² = u² + 2as

(0 m/s)² = u² + 2(-2,500,000 m/s²)(0.114 m)

v = 754.98 m/s

Momentum tembakan dikira dengan,

p = (0.0042 kg)(754.98 m/s)

p = 3.17 kg m/s

3.17 kg m/s adalah momentum yang terlibat semasa kejadian. Manakala, maklumat yang diberikan adalah momentum maksimum. Disebabkan pistol milik Azahari Haris hanya mampu menembak dengan momentum maksimum 3.0 kg m/s, maka, beliau juga tersingkir daripada senarai suspek.

Azahari Haris

https://cedricterrell.squarespace.com/

Oleh yang demikian, dengan analisis dan kiraan yang dilakukan, semua bukti yang diekstrak dari tempat kejadian menunjukkan bahawa Salena Joe bersalah kerana melakukan pembunuhan Dato’ Azamuddin! Motif beliau adalah bersama-sama dengan Kamel Ariffin untuk menggulingkan si mati; mungkin Salena tidak kenal erti batas dalam mencapai tujuan ??

Salena Joe – Bersalah!

http://cdn.lolwot.com/

Saya memohon maaf sekiranya terdapat sebarang ketidaklogikan dalam penerangan dan situasi kes yang diberikan. Apa-apa pun, kes pembunuhan ini tidak bertujuan untuk mereplika kes pembunuhan sebenar yang realistik, tetapi untuk memfokuskan aplikasi fizik dalam forensik.

Artikel sumbangan:

Adib Yusof | Bacelor Sains (K) Major Fizik | Universiti Putra Malaysia | mkhairuladibmyusof@gmail.com