Keelektromagnetan

Panahan Kilat; Bagaimana untuk Kekal Selamat

Sumber: http://www.nst.com.my/

Siang tadi, Negara dikejutkan dengan kematian sepasang suami isteri yang disambar kilat di sebuah taman permainan di Puchong. Menurut saksi, semasa kejadian, hujan masih belum turun di kawasan itu. Kedua-dua mangsa disahkan mati serta-merta. Fiziklah! mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Menurut laman sesawang Institut Keselamatan Kilat Kebangsaan (National Safety Lightning Institute), Malaysia menduduki tangga ketiga bagi negara paling banyak menerima ribut petir dan Kuala Lumpur adalah bandar kelima terkerap yang mengalami panahan kilat bagi setiap kilometer persegi (data adalah daripada tahun 2003).

Sumber: http://www.lightningsafety.com/

Jadi, bagaimanakah kejadian kilat berlaku?

Kilat (lightning), secara ringkasnya adalah  arus elektrik; dan untuk menghasilkan arus elektrik, awan diperlukan. Semasa hari panas, darat menjadi panas dan menghangatkan lapisan udara yang berada di atasnya. Udara yang panas mengurangkan ketumpatannya, maka ia mengapung ke altitud yang lebih tinggi. Semasa kenaikan udara ini, wap air semakin menyejuk dan berubah menjadi awan. Pada altitud yang tertentu di mana suhu adalah di bawah takat beku, wap air ini berubah menjadi kepingan ais. Kepingan-kepingan ais  saling berlanggaran dan mengaruhkan cas elektrik. Lama kelamaan, cas elektrik terkumpul di dalam awan; awan jenis ini digelar awan ribut. Cas positif berkumpul di bahagian atas awan manakala cas negatif terasing di bahagian bawah. Dua jenis cas yang berbeza ini menghasilkan percikan elektrik di dalam awan, tetapi kadangkala percikan ini mampu mengalir hingga ke darat.

Sumber: https://www.scienceabc.com/

Kilat berlaku apabila cas negatif (elektron) yang terkumpul di bahagian bawah awan tertarik dengan cas positif yang berada di darat. Pengumpulan cas elektrik perlulah cukup besar untuk mengatasi sifat penebat yang dimiliki udara. Apabila ia berlaku, cas-cas negatif mengalir ke bawah dan menuju ke titik tertinggi yang berada di darat di mana cas-cas positif telah terkumpul. Apabila sambungan antara cas positif dan negatif telah dicapai, proton akan ditarik ke atas dan bertembung dengan elektron. Pertembungan inilah yang menghasilkan kilat yang kita saksikan. Panahan kilat memanaskan udara yang berada sepanjang laluannya dan menyebabkan udara mengembang dengan pantas. Bunyi guruh adalah disebabkan pengembangan udara yang pantas ini.

Apakah yang harus dilakukan untuk mengelakkan panahan kilat?

Berlindung di dalam bangunan – bahan binaan bangunan adalah penebat yang baik dan menghalang kilat daripada mengalir melaluinya.

Jika berada di luar bangunan, berlindung di dalam kereta –  jika anda sedang memandu, anda dicadangkan untuk berhenti di bahu jalan, matikan enjin dan letakkan tangan anda di paha. Elakkan menyentuh mana-mana bahagian dalaman kereta seperti pintu, tingkap, stering mahupun gear. Dalam hal ini, kereta berfungsi sebagai sangkar Faraday (Faraday cage) kerana bahagian luarannya yang diperbuat daripada logam mampu menjadi perisai daripada medan elektrik di luar. Sekiranya kereta anda dipanah kilat, arus elektrik hanya mengalir pada lapisan logam paling atas dan seterusnya mengelakkan ia mengalir di dalam kereta.

Apa-apa struktur berbentuk sangkar yang diperbuat daripada logam boleh berfungsi sebagai sangkar Faraday | Sumber: http://sciencefacts.net/

Elakkan berteduh di bawah pokok – arus elektrik daripada awan menghadapi “kesukaran” untuk mengalir ke darat akibat sifat penebat udara. Pokok, bangunan, tiang lampu atau apa-apa struktur yang tinggi mempunyai sifat pengaliran elektrik yang lebih baik berbanding udara. Oleh itu, arus elektrik akan mengambil laluan tersingkat untuk tiba di darat.

Sumber: http://pad3.whstatic.com/

Bagaimanakah untuk mengetahui anda akan dipanah kilat?

Sumber: http://www.dailymail.co.uk/

Sekiranya anda merasai bahawa rambut atau bulu roma anda berdiri, ini bermakna tubuh anda telah menjadi sumber cas positif yang menarik cas negatif daripada awan. Selain itu, jika anda merasai denyutan pada kulit, risiko akan dipanah kilat adalah sangat tinggi. Gambar di atas diambil secara tidak sengaja beberapa minit sebelum mereka dipanah kilat di Moro Rock, California pada tahun 1975. Kanak-kanak berusia 12 tahun (kiri) itu terselamat dengan melecur tahap ketiga manakala remaja di sebelah kanan maut semasa kejadian.

Apa yang harus dilakukan sekiranya tiada sebarang perlindungan berhampiran?

Sumber: https://content.artofmanliness.com/

Ambil posisi mencangkung – turunkan tubuh anda serendah yang mungkin kerana ia mengurangkan kemungkinan dipanah kilat. Tetapi, jangan sekali-kali berbaring di tanah kerana sekiranya kilat menyambar tanah, aliran elektrik mungkin akan mengalir melalui tubuh anda.

Jengketkan kaki dan pastikan hanya jari kaki yang bersentuhan dengan tanah – kilat berkemungkinan menyambar tanah terlebih dahulu sebelum memasuki tubuh anda. Dengan meminimumkan sentuhan dengan tanah, risiko menjadi pengalir kilat dapat dikecilkan.

Sentuhkan tumit kaki kiri dengan tumit kaki kanan – jika kilat mengalir dalam tubuh anda melalui kaki sebelah kanan, maka ia akan mengambil laluan tersingkat untuk keluar ke tanah semula. Dengan menyentuhkan kedua-dua tumit anda, kilat berkemungkinan memasuki kaki kanan dan keluar dari kaki serta mengelakkan daripada melalui anggota tubuh yang lain. Teknik ini dapat mengurangkan kecederaan serius.

Tekupkan tangan di telinga – ini adalah bagi melindungi telinga daripada bunyi guruh yang sangat kuat yang mampu memekakkan telinga.

Jangan sentuhkan apa-apa objek yang mempunyai sifat pengaliran yang baik.

Sumber: http://media.gettyimages.com/

Panahan kilat adalah antara punca kemalangan jiwa di seluruh dunia, tetapi kita mampu mengurangkan risiko kecederaan mahupun kematian dengan mengaplikasikan tips-tips yang disenaraikan di atas. Kekal selamat!

 

 

Artikel Berkait

Anda juga mungkin meminati
Close
Back to top button