Fizik Baharu

Dilema Pengembara Masa (Bahagian 1)

Pengembaraan masa (time travel) telah menjadi modal klise oleh pembikin-pembikin filem sains fiksyen. Begitu banyak filem-filem yang menjadikan pengembaraan masa sebagai subjek utama seperti trilogi Back to The Future, X-Men: Days of The Future Past, Harry Potter and The Prisoner of Azkaban, The Terminator, Donnie Darko, Edge of Tomorrow, Predestination, trilogi The Butterfly Effect, Project Almanac dan senarai ini akan berterusan sehingga God-knows-when.

Meskipun lambakan filem sebegini ini bukanlah sesuatu yang tidak baik, tetapi adakah pengembaraan masa dibenarkan oleh hukum fizik? Adakah terdapat sains dalam sains fiksyen?

Sebelum saya berceloteh panjang, izinkan saya menyenaraikan tiga jenis peraturan/kaedah pengembaraan masa yang pernah ditampilkan di dalam filem-filem sains fiksyen:

1) Garis masa dinamik (dynamic timeline) – pengembaraan masa jenis ini membenarkan individu yang kembali ke masa lampau untuk mengubah sejarah yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Biar saya beri satu contoh daripada sebuah filem yang bertajuk Back to The Future (Part 1).

Marty McFly, remaja yang bersahabat dengan seorang profesor, hidup dalam keluarga yang agak miskin dan kucar-kacir. Pada suatu hari, dia telah, secara tidak sengaja, kembali ke masa lalu ke waktu sebelum dia dilahirkan. Setibanya dia di masa lampau, dia bertembung dengan ibunya sewaktu dia masih remaja, dan dengan tidak sengajanya, mengganggu ibunya dari bercinta dengan bapanya. Dia mendapati dengan berbuat demikian, dia boleh menyebabkan kelahirannya tidak akan berlaku, lalu dia berusaha untuk menjodohkan ibu bapanya kembali, dan akhirnya dia berjaya. Dalam masa yang sama, dia telah mengubah beberapa perkara dan mempengaruhi bapanya untuk menjadi seorang yang lebih hebat. Sekembalinya dia ke masa sekarang, dia mendapati bahawa keluarnya telah berubah 360º. Keluarganya hidup bahagia dan lebih kaya (disebabkan bapanya kini seorang yang lebih berpengaruh dan hebat, terima kasih kepada Marty).

Peraturan pengembaraan masa jenis garis masa dinamik boleh menyebabkan pelbagai implikasi buruk seperti Paradoks Datuk (Grandfather Paradox). Paradoks ini menyatakan bahawa, jika seorang pengembara masa kembali ke masa lampau dan membunuh datuknya sebelum datuknya berkahwin dengan neneknya, maka ibu atau bapa si pengembara masa tak akan dilahirkan, dan dia juga turut tidak dapat dilahirkan. Hal ini menyebabkan tidak wujud pengembara masa yang kembali ke masa lampau untuk membunuh datuk tersebut, maka, pengembara masa dilahirkan, dan proses yang sama berlaku berulang kali. Konflik ini tidak masuk akal dan tidak akan dapat diselesaikan walau apa jua cara dilakukan.

Jenis ini juga menimbulkan paradoks kedua iaitu Paradoks Kewujudan-daripada-Ketiadaan (Something-from-Nothing Paradox). Paradoks ini lebih mudah diterangkan oleh filem yang sama. Bayangkan Marty tidak kembali terlalu lama ke masa lampau (sebelum dia dilahirkan), tetapi hanya kembali ke setahun sebelumnya. Dia telah menyebabkan wujud dua orang Marty pada waktu yang sama, di alam semesta yang sama. Disebabkan seorang Marty kini telah menjadi dua orang Marty, jumlah tenaga dan jisim dalam seluruh alam semesta telah bertambah secara spontan! Hal ini tidak dibenarkan kerana ia mencabuli Hukum Keabadian Tenaga dan Jisim (Law of Conservation of Energy and Mass).

Disebabkan paradoks dan konflik yang diterangkan di atas, pengembaraan masa jenis garis masa dinamik tidak dibenarkan oleh fizik!

Kita sambung dua lagi peraturan/kaedah pengembaraan masa di entri seterusnya, nantikan!

 

 

 

Artikel Berkait

Anda juga mungkin meminati
Close
Back to top button