Umum

Ulasan Buku: Fizik-Lah! (Oleh Zamir Mohyedin & Mohd S. Faiz)

Buku popular science yang disusun atur dengan baik tetapi tidak disemak dengan teliti. 

Entah mengapa gambar tidak dapat diputarkan. Mohon maaf daripada admin.

Terlalu panjang; tidak baca (tp;tb): Bab-bab yang diperkenalkan dalam buku ini disusun atur dengan baik dan berstrategik. Tahap perbincangan adalah bersesuaian dengan kebanyakan golongan sama ada daripada latar belakang sains atau tidak, tetapi mereka yang sedang atau mempunyai Ijazah dalam bidang fizik mungkin merasakan ia adalah buku ulangkaji bagi topik-topik yang mereka pernah pelajari dahulu. Kelemahan paling ketara adalah kesalahan ejaan serta penterjemahan istilah yang tidak sesuai yang tidak dapat diabaikan kerana berlaku dalam jumlah yang lebih banyak daripada biasa. 6.5/10

Ulasan penuh: Ketika ura-ura sebuah buku bertajuk Fizik-Lah! bakal diterbitkan mula tersebar, admin Fiziklah! diajukan soalan daripada beberapa rakan bertanyakan sama ada buku ini adalah hasil nukilan admin. Jawapannya: tidak. Penggunaan imbuhan -lah! adalah kebetulan semata-mata, apatah lagi ia begitu sebati dengan dialek Bahasa Melayu dan memberikan identiti kepada buku tersebut. Sebelum kita mula membaca sesebuah buku, kebiasaannya kita akan cuba mendapatkan idea kasar mengenai pembawaan dan hala tuju buku tersebut daripada kulit belakang. Tetapi, disebabkan kulit belakang buku hanya menampilkan beberapa petikan popular daripada tokoh-tokoh fizik, adalah selamat untuk admin katakan bahawa penulis tidak cuba untuk membantu pembaca meletakkan jangkaan terhadap bukunya. Satu keputusan yang bijak atau tidak? Anda nilaikan.

Tidak boleh diputarkan juga 🙁

Pertamanya, admin harus memuji penulis kerana berjaya memilih bab dan subtopik yang meliputi hampir keseluruhan bidang fizik untuk dikupas. Bidang mekanik klasik hinggalah ke kerelatifan dan kosmologi ditampilkan serta subjek perbincangan yang dipilih juga adalah bersesuaian bagi membantu pemahaman. Walau bagaimanapun, bab Kereta yang diletakkan di akhir buku adalah sedikit mengganggu sensasi klimaks yang dibawa oleh bab Kosmologi. Mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan peringkat Ijazah dalam bidang fizik mungkin mahu meninggalkan beberapa bab awal kerana ia dikupas secara permukaan tetapi masih seronok dibaca. Admin juga perlu memuji penulis kerana dengan cemerlangnya mampu mengupas topik mekanik kuantum dan kerelatifan dengan baik serta dibantu dengan gambar-gambar rajah yang ringkas.

Senarai bab.
Gambar rajah dalam bab mekanik kuantum.

Keduanya, sepanjang pembacaan, admin sedar bahawa penulis jarang meletakkan personaliti dalam penulisannya. Personaliti dalam konteks ini adalah analogi serta pengalaman peribadi penulis di mana ia jarang dikisahkan. Analogi dan kisah diri penulis, pada pendapat admin, adalah penting untuk membantu pembaca menyedari bahawa mereka bukan sedang membaca sebuah buku teks – tetapi buku popular science. Sama ada pendekatan ini adalah baik atau tidak juga bergantung kepada penilaian pembaca.

Kelemahan utama buku ini adalah ia tidak melalui proses semakan yang teliti; hal ini begitu ketara dek kesalahan ejaan yang berlaku tidak kurang daripada 50 kali. Keslahan ejaanseperti ini amat merugikanrana dan tidak sehatusnya berlaku. Di samping itu, disebabkan tidak banyak buku popular science berbahasa Melayu di pasaran, adalah satu kerugian sekiranya istilah fizik dalam Bahasa Melayu yang ditampilkan adalah kurang tepat. Beberapa istilah tidak diterjemahkan sebaliknya ditranskripsikan terus ke dalam Bahasa Melayu. Istilah seperti muatan haba spesifik (tentu), planet Merkuri (Utarid), radiasi (sinaran) serta relativiti dan radioaktiviti (kerelatifan dan keradioaktifan). Walaupun beberapa transkripsi istilah yang digunakan adalah tidak salah, tetapi kewujudan perkataan Bahasa Melayu yang sedia ada haruslah diutamakan penggunaannya. Admin mengalu-alukan sebarang pembetulan daripada rakan Fiziklah! sekiranya cadangan istilah yang diberikan juga adalah tidak tepat.

6.5/10.

Fiziklah! memuji usaha penulis untuk membawakan fizik kepada orang awam lagi-lagi dalam Bahasa Melayu. Semoga kita dapat melihat karya kedua penulis tidak lama lagi! Syabas!

Artikel Berkait

Back to top button