Browse By

Kes Pembunuhan Dato’ Azam (Fizik Forensik)

Berikut merupakan kes pembunuhan yang telah saya reka. Kes pembunuhan ini direka sebagai salah satu modul untuk kem fizik yang akan dijalankan di beberapa buah sekolah, tetapi apa salahnya saya kongsikan dengan Fiziklah!, bukan? Bagi menyelesaikan kes ini dan mencari pembunuhnya, beberapa konsep fizik dan kira-kira perlu dilakukan. Jawapan penyelesaian akan diberikan di artikel yang akan datang.

Selamat mencari pembunuh, detektif! ??

Situasi tempat kejadian

http://media.gettyimages.com/

4 Disember 2016; Ipoh, Perak. 
Pemilik Syarikat AZAM Electronics Sdn. Bhd., Dato’ Azamuddin Shahir, 56 tahun, ditemui mati di atas jalan raya yang sunyi. Mayat si mati tertiarap di atas jalan raya, kira-kira 5 m dari kereta BMW 5 Series yang dipandunya. Kereta tersebut melanggar pembahagi jalan; tiada tanda-tanda pelanggaran dengan kenderaan lain kelihatan. Waktu berlaku kemalangan kereta tidak dapat ditentukan. Cermin hadapan kereta tersebut pecah akibat impak tubuh si mati yang terpelanting keluar dari kerusi pemandu. Si mati ditembak dari belakang dan menembusi jantungnya lalu mati serta-merta. Masa kematian adalah pada kira-kira jam 5.20pm.

http://1.bp.blogspot.com/

Bahan-bahan bukti

Tubuh si mati
Luka pelanggaran di bahagian kepala disahkan doktor sebagai tidak mampu menyebabkan kematian. Si mati hanya mati akibat tembakan. Peluru yang digunakan adalah jenis 9 mm yang seberat 4.20 g. Luka tembakan adalah sedalam 11.4 cm. Tisu badan di bahagian belakang tubuh si mangsa mampu menyebabkan peluru menyahpecut pada kadar -2,500,000 m/s². Hasil bedah siasat yang dilakukan pada tubuh si mati mendapati beliau telah diracun oleh sejenis dadah yang mampu membuatkan pengambilnya hilang tumpuan dan khayal. Bedah siasat juga mendapati si mati diracun pada kira-kira 5.05pm dan kesan dadah bertindak 10 minit selepas itu.

Kereta
Keadaan dalam kereta kelihatan agak bersih selain daripada cermin hadapan yang pecah akibat impak tubuh si mati. Kelihatan tali pinggang keledar tidak dipasang oleh si mati semasa memandu. Tiada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan ada orang lain berada di dalam kereta semasa kejadian berlaku. Suhu enjin menunjukkan kereta tersebut telah bergerak tanpa berhenti sekurang-kurangnya 1 jam sebelum kemalangan berlaku. Terdapat secawan minuman teh ais limau yang sejuk telah diminum separuh oleh si mati serta mempunyai sisa ais yang mencair. Selepas uji kaji bahan, ahli kimia forensik mendapati jenis dadah sama yang dikesan dalam darah si mati turut berada dalam minuman tersebut. Ketulan ais yang digunakan adalah seberat 40 g dan secara kebiasaannya disimpan pada suhu -20 °C sebelum digunakan. Muatan haba tentu dan haba pendam tentu perlakuran ais adalah masing-masing 4.186 J/g °C dan 334 J/g. Kadar pengaliran tenaga haba daripada minuman teh limau kepada ais adalah 2.5 W. (Disunting: maklumat tambahan – ais mencair menjadi air dan air kekal pada suhu 0 °C semasa kejadian).

http://media.istockphoto.com/

Kesan tapak kasut
Disebabkan keadaan berlumpur di sekeliling tubuh si mati, sebuah kesan tapak kasut misteri telah ditinggalkan. Kesan tapak kasut tersebut diukur kedalamannya, dan didapati ia terbenam sedalam 2.5 cm (pada bahagian paling cetek) hingga 2.7 cm (pada bahagian paling dalam). Lakaran tapak kasut tersebut adalah seperti rajah berikut. Selain itu, ahli fizik forensik telah mengkaji kelembutan lumpur dan mendapati kedalaman yang terhasil berkait dengan tekanan mengikut kadar linear yang berikut:

http://www.alamy.com/

Suspek-suspek

Datin Suhaila Samad, 51 tahun
Isteri kepada si mati.
Motif: Mengesyaki suaminya mempunyai perempuan simpanan.
Tinggi: 161 cm, jisim: 63 kg
Tidak dapat membuktikan alibi dari jam 3.00pm hingga 6.00pm
Mempunyai sebuah kereta Honda City
Memiliki sepucuk pistol dengan momentum tembakan maksimum 3.2 kg m/s

Azahari Haris, 29 tahun
Anak tunggal si mati.
Motif: Ingin mewarisi harta pusaka bapanya bagi melangsaikan hutang.
Tinggi: 176 cm, jisim: 70 kg
Tidak dapat membuktikan alibi dari jam 2.30pm hingga 7.00pm
Mempunyai sebuah kereta Perodua Myvi
Memiliki sepucuk pistol dengan momentum tembakan maksimum 3.0 kg m/s

Kamel Ariffin, 48 tahun
Timbalan Pengarah Syarikat AZAM Electronics Sdn. Bhd.
Motif: Ingin mengambil alih syarikat.
Tinggi: 171 cm, jisim: 68 kg
Tidak dapat membuktikan alibi dari jam 3.30pm hingga 6.30pm
Mempunyai sebuah kereta Honda City
Memiliki sepucuk pistol dengan momentum tembakan maksimum 3.5 kg m/s

Salena Joe, 28 tahun
Kekasih si mati.
Motif: Berkomplot dengan Kamel Ariffin untuk menggulingkan si mati.
Tinggi: 173 cm, jisim 65 kg
Tidak dapat membuktikan alibi dari jam 3.00pm hingga 6.30pm
Mempunyai sebuah kereta Proton Iriz
Memiliki sepucuk pistol dengan momentum tembakan maksimum 3.6 kg m/s

Catatan makmal forensik

Berdasarkan situasi tempat kejadian, adalah diramal bahawa si pelaku memasukkan dadah ke dalam minuman dan diberikan kepada si mati untuk mengakibatkan kemalangan kereta. Si pelaku juga mengekori kereta si mangsa dari belakang dan apabila mendapati mangsa masih hidup selepas kemalangan kereta, si pelaku mengambil keputusan untuk menembak si mati dengan pistol milik si pelaku. Tiada saksi semasa kejadian kerana jalan raya yang digunakan agak sunyi. Berdasarkan keadaan cuaca pada hari itu yang agak kering, geseran molekul udara dengan peluru boleh diabaikan. Tiada sebarang bukti seperti cap jari, peluh atau kesan tayar kereta pelaku ditinggalkan si pelaku di tempat kejadian.

https://kevinperelmantarget.files.wordpress.com/

http://www.handgunsmag.com/

Berdasarkan laporan kes yang diberi, siapa pembunuh yang meragut nyawa Dato’ Azamuddin? Kongsikan jawapan dan jalan kira penyelesaian anda kepada kami di ruangan komen, Twitter atau Facebook!

Jawapan di sini Jangan klik selagi anda belum mencuba menyelesaikan kes pembunuhan ini sendiri!

Artikel sumbangan:

Adib Yusof | Bacelor Sains (K) Major Fizik | Universiti Putra Malaysia | mkhairuladibmyusof@gmail.com