Astrofizik & Kosmologi

Ada Apa dengan Matahari?

 

Sumber: http://www.augsburg.edu/physics/

Fizik angkasa adalah sebuah istilah yang sering digunakan sebagai tukaran ganti bagi istilah astrofizik – dan ia sebenarnya tidak tepat. Meskipun kedengaran serupa dan memiliki persamaan dalam beberapa perkara, dua bidang fizik ini mempunyai perbezaannya dari segi lingkungan dan tumpuan kajian.

Fizik angkasa atau space physics secara ringkasnya ditakrifkan sebagai bidang pengajian terhadap segala jasad yang berada di atas atmosfera Bumi sehingga hujung Sistem Suria. Sebagai pengenalan terhadap bidang yang agak kurang popular dalam kalangan peminat bidang fizik ini, makalah kali ini membincangkan salah satu daripada lima teras fizik angkasa. Teras-teras yang dimaksudkan ini merupakan lima buah jasad atau sistem yang berbeza dan menjadi tumpuan utama pengkaji fizik angkasa.

Sumber: http://www.nationalgeographic.com/

Matahari; Sun; Helios; Sol; شمس

Kajian terhadap Matahari bermula seawal 1609 apabila Galileo mula tertarik dengan idea untuk mencipta sebuah peranti yang mampu menjadikan objek yang jauh kelihatan dekat – maka teleskop terhasil. Sejak dari itu, beliau melakukan banyak cerapan termasuklah planet-planet dan tompok Matahari.

Sumber: http://news.nationalgeographic.com/

Matahari merupakan sejenis bintang yang berusia 4.6 bilion tahun dengan diameter kira-kira 1.4 juta km. Jisimnya yang bersamaan dengan 333 060 kali ganda jisim Bumi serta suhu terasnya yang mencecah 15 juta ºC menjadikan Matahari antara jasad yang menakjubkan di dalam Sistem Suria kita. Disebabkan jaraknya dengan Bumi, cahaya Matahari mengambil masa 8 minit untuk tiba di Bumi. Hal ini bermakna, jika sesuatu berlaku terhadap Matahari, manusia yang berada di Bumi hanya akan dapat menyaksikannya selepas 8 minit.

Sumber: https://futurism.com/

Bintang ini juga mempunyai beberapa fenomena unik yang menjadi tumpuan kajian para ahli fizik angkasa.

Tompok suria (sunspot) – rantau gelap pada permukaan Matahari yang mempunyai suhu lebih rendah pada lapisan fotosferanya.

Sumber: https://www.windows2universe.org/

Nyala suria (solar flare) – letusan sinaran yang kuat berasal daripada pembebasan tenaga magnet yang berhubung kait dengan tompok suria.

Sumber: https://www.nasa.gov/

Suar suria (solar prominence) – sebuah lingkaran gergasi yang terang dan terpancar keluar dari permukaan Matahari.

Sumber: https://img.purch.com/

Lentingan jisim korona (coronal mass ejection) – sebuah letupan medan magnet dan plasma berskala gergasi berpunca dari korona Matahari. Fenomena ini sering dikaitkan dengan nyala suria tetapi boleh juga berlaku tanpanya.

Sumber: https://www.nasa.gov/

Selain daripada fenomena-fenomena Matahari yang dinyatakan, kitaran Matahari (solar cycle) juga merupakan subjek kajian yang begitu penting dalam bidang fizik angkasa. Kitaran suria ditentukan berdasarkan peningkatan atau penurunan bilangan tompok suria dan ia mengambil masa selama 11 tahun untuk sebuah kitaran lengkap. Kitaran ini mengandungi fasa maksimum, menurun, minimum dan menaik. Kitaran suria pertama yang dikesan bermula pada tahun 1755 dan kita kini berada pada kitaran ke-24 yang bermula pada tahun 2008.

Sumber: https://solarscience.msfc.nasa.gov/

Data-data mengenai Matahari dikumpul daripada dua sumber iaitu peranti Bumi (ground-base instrument) dan peranti angkasa (space-based instrument). Peranti Bumi termasuklah teleskop manakala satelit tergolong dalam peranti angkasa.

Sumber: http://www.solarham.net/
Sumber: http://company7.com/

Tanpa sebarang keraguan, Matahari merupakan ciri terpenting dalam seluruh Sistem Suria. Ia merupakan sumber tenaga cahaya dan haba selain mempengaruhi perilaku planet-planet yang mengorbitnya. Kita bermula dengan tanggapan bahawa Bumi sebagai pusat sistem yang diorbit oleh planet-planet dan Matahari yang diilhamkan oleh Ptolemy melalui Model Geosentriknya. Teori ini kemudiannya disangkal oleh Copernicus yang mengemukakan teori bahawa Matahari yang memikul peranan sebagai pusat melalui Model Heliosentriknya. 

Jika ada sesuatu yang dapat kita pelajari daripada pengemukaan dan penyangkalan teori ini adalah manusia sentiasa meneroka ilmu dan Matahari merupakan salah satu sumber inspirasi penerokaan mulia ini.

 

 

Artikel Berkait

Anda juga mungkin meminati
Close
Back to top button