Umum

Menterjemah Fizik

Fizik, seperti bidang-bidang sains yang lain telah sekian lama diajar dalam Bahasa Inggeris bermula daripada peringkat sekolah menengah sehinggalah ke  universiti. Melainkan anda merupakan generasi pelajar sekolah semasa dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilaksanakan atau pun anda menamatkan pengajian tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), anda adalah golongan yang memperoleh ilmu sains dalam Bahasa Inggeris secara penuh (seperti admin).

Sebelum itu – MBMMBI adalah dasar pendidikan yang diperkenalkan susulan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dalam Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). MBMMBI mengembalikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bagi subjek-subjek sains dan matematik di sekolah. Manakala, UKM, sesuai dengan statusnya sebagai universiti kebangsaan Negara menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran di kebanyakan fakulti.

Adalah sesuatu yang tidak asing jika golongan (seperti kita) ini sedikit janggal apabila hendak menulis, misalnya abstrak tesis dalam Bahasa Melayu yang tulen dan saintifik. Untuk makalah kali ini, admin berkongsi Pedoman Pembentukan Istilah Fizik sebagai panduan penterjemahan istilah fizik daripada Bahasa Inggeris (BI) ke dalam Bahasa Melayu (BM) yang mungkin tidak didaftarkan dalam sumber rasmi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka.

Akhiran -vity = imbuhan keter-an. Contoh: diffusivity = keterbauran.

Akhiran -vity = imbuhan ke-an (jika merupakan terbitan daripada kata dasar). Contoh: sensitivity = kepekaan.

Akhiran -able = awalan boleh. Contoh: programmable = boleh aturcara (dijarakkan).

Akhiran -ability/-ibility = imbuhan keboleh-an. Contoh: compressibility = kebolehmampatan.

Akhiran -meter = meter + nama unit/kata nama/kata kerja/kata sifat. Contoh: ammeter = meter ampere/tiltmeter = meter condong/dip meter = meter junam.

Akhiran meter (yang panjang iaitu terdiri daripada 3 atau 4 kata) = ditranskripsikan terus ke dalam BM. Contoh: cardiotachometer = kardiotakometer.

Akhiran -scope = akhiran -skop. Contoh: oscilloscope = osiloskop.

Akhiran -gram = akhiran -gram. Contoh: interferogram = interferogram.

Akhiran -graph/-graphy = akhiran -graf/-grafi. Contoh: spectrograph = spektrograf/chromatography = kromatografi.

Akhiran -ism = akhiran isme/imbuhan ke-an. Contoh: diamagnetism = diamagnetisme/kediamagnetan.

Awalan anti- = awalan anti-. Contoh: anti-friction = antigeseran (dirapatkan). Kecuali: anti-clockwise = lawan jam.

Awalan self- = akhiran diri/sendiri. Contoh: self clocking = pengejaman-diri.

Awalan de-/dis- = awalan nyah-. Contoh: decode = nyahkod (dirapatkan).

Awalan mono- = awalan eka- (jika perkataan BI boleh diterjemahkan ke dalam BM). Contoh: monopole = ekakutub/monotone = ekanada (dirapatkan).

Awalan mono- = awalan mono- (jika perkataan BI boleh ditranskripsikan terus ke dalam BM). Contoh: monochrome = monokrom.

Sama kaedahnya bagi: awalan bi- & penta- = awalan dwi- & panca-. Contoh: biaxial = dwipaksi/bistable = bistabil. Contoh: pentadiagonal = pancapenjuru/pentahexane = pentaheksana.

Akhiran -an/-ian (yang diimbuhkan pada nama orang) = akhiran -an. Contoh: Newtonian = Newtonan.

Awalan sub- = awalan sub-. Contoh: substructure = substruktur.

Awalan co- = awalan se-. Contoh: cocurrent = searus. Kecuali: cofactor = kofaktor/coordinate = koordinat.

Awalan micro-, macro- dan mini- = awalan mikro-, makro- dan mini-. Contoh: microcaliper = mikroangkup/macroassembler = makropenghimpun/minidisk = minicakera.

Awalan multi- = awalan berbilang/pelbagai. Contoh: multipipe system = sistem berbilang paip/multi-position = pelbagai kedudukan.

Awalan semi- = awalan separuh. Contoh: semiconductor = separuh pengalir.

Awalan non- = awalan bukan/tak. Contoh: non-circular = bukan bulat/nonuniform = tak seragam.

Awalan over- (jika awalan terpisah atau dihubungkan dengan tanda sempang “-” dengan kata dasarnya) = akhiran lebih. Contoh: over coupling = gandingan lebih/over-reinforced = bertetulang lebih.

Awalan over- (jika ditulis serangkai dengan kata dasarnya) = diterjemahkan mengikut makna yang sesuai. Contoh: overflow = limpahan/overlay = tindihan.

Awalan photo- = awalan foto-. Contoh: photoelectric = fotoelektrik.

Awalan electro- = awalan elektro-. Contoh: electrocapillarity = elektrokerambutan. Kecuali: electromotive force = daya gerak elektrik (kerana telah begitu lama digunakan).

Awalan thermo- = akhiran haba/suhu. Contoh: thermostat = larasuhu/thermocycle = kitar haba. Kecuali: thermodynamic = termodinamik (kerana telah begitu lama digunakan).

Awalan pre-/post- = awalan pra-/pasca-. Contoh: preheat = prapanas/post buckling = pascalengkokan.

Awalan super- (jika kata dasar merupakan kata nama dan berkaitan dengan bahan/radas) = awalan super-. Contoh: supersonic = superbunyi.

Awalan super- (jika kata dasar merupakan kata sifat/kerja dan bermaksud melebihi/melampau) = akhiran lampau. Contoh: superconductor = pengalir lampau.

Awalan tele-/ultra- = awalan tele-/ultra-. Contoh: telegraph = telegraf/ultraviolet = ultralembayung.

Awalan under- = akhiran kurang/bawah. Contoh: underdamped = redam kurang/underflow = aliran bawah.

Pedoman-pedoman ini diambil dan disesuaikan daripada buku Istilah Kejuruteraan Bahasa Inggeris – Bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1978. Buku ini dijadikan sumber rujukan bagi makalah kali ini kerana kami tidak memiliki buku Istilah Fizik Pengajian Tinggi Jilid 1 daripada penerbit yang sama; tetapi pedoman yang diberikan adalah dirasakan bersesuaian dalam konteks fizik.

Muka hadapan buku Istilah Kejuruteraan, Dewan Bahasa dan Pustaka (1978)

Fiziklah! begitu mementingkan penggunaan Bahasa Melayu dalam usaha kami membawakan fizik kepada semua, bukan kerana kami mahu, tetapi kami perlu. Bukan kami, kita semua! Jika bukan kita, siapa lagi? Semoga suatu hari nanti Bahasa Melayu mampu dituturkan dan digunakan bukan sahaja dalam perbualan seharian, tetapi juga dalam bidang sains dan ilmu.

Dirgahayu Bahasa Melayuku.

 

 

Artikel Berkait

Back to top button