Browse By

Televisyen & Titik Kuantum

Samsung 4K QLED TV, diumumkan pada CES 2017. Sumber: www.cnet.com

Sekitar tahun 2014, syarikat gergasi peranti pintar Apple memberikan petanda bahawa telefon pintar yang seterusnya daripada mereka iaitu iPhone 6 akan menggunakan teknologi paparan (display) terbaharu. Paparan ini bakal menggunakan teknologi titik kuantum (quantum dot); namun khabar angin tersebut adalah tidak benar. Penggunaan titik kuantum dalam penghasilan paparan akhirnya menjadi kenyataan apabila Samsung mengumumkan siri televisyen mereka yang dikenali sebagai SUHD TV pada CES 2016. Terkini, Samsung mengumumkan siri televisyen terbaharu keluarannya dengan teknologi sama tetapi telah dipertingkatkan yang dikenali sebagai QLED TV. Antara kelebihan paparan berteknologi titik kuantum adalah lebih jitu, cerah dan mempunyai warna yang lebih tepat serta tepu (saturate); juga sering dikenali sebagai Julat Dinamik Tinggi (HDR).

Julat Dinamik Tinggi (HDR) dalam dunia nyata. Sumber: www.samsung.com

Namun, apakah sebenarnya titik kuantum?

Secara ringkasnya, titik kuantum adalah zarah yang sangat kecil. Diameter titik kuantum adalah daripada 2 hingga 10 nanometer; iaitu hanya kira-kira 50 ganda lebih besar daripada atom. Bahan semikonduktor ini akan memancarkan cahaya yang berbeza frekuensi apabila dikenakan arus elektrik atau cahaya. Warna cahaya yang dipancarkan oleh titik kuantum adalah berkait rapat dengan saiznya. Titik yang lebih kecil berwarna biru manakala yang lebih besar kelihatan merah. Dalam paparan LCD, sifat ini digunakan untuk menyingkirkan keperluan cahaya putih dan penapis warna (color filters).

Sumber: www.jqi.umd.edu

Disebabkan sifatnya yang mudah diubahsuai, titik kuantum mempunyai pelbagai kegunaan dalam bidang lain. Antaranya termasuklah transistor, sel suria, LED, laser diod, pengkomputeran kuantum serta pengimejan perubatan. Selain itu, saiznya yang begitu kecil membolehkan titik kuantum dilarutkan untuk kegunaan dalam industri percetakan inkjet.

Meskipun dengan kelebihan dan potensi yang dipamerkan oleh titik kuantum, seperti teknologi-teknologi lain, ia juga mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Paparan dengan teknologi ini mengalami masalah tumpahan cahaya (light bleeding) yang berwarna biru. Hal ini disaksikan pada komputer tablet pertama yang menggunakan paparan titik kuantum iaitu Amazon Fires. Masalah tumpahan cahaya bukanlah sesuatu yang asing dalam pembuatan paparan, tetapi paparan dengan teknologi terdahulu mengalami tumpahan berwarna putih, maka ia kurang jelas berbanding tumpahan berwarna biru.

Sumber: www.arstechnica.com

Dalam untuk usaha maju setapak dalam teknologi paparan, titik kuantum adalah antara fokus utama selain peningkatan resolusi paparan (hingga 6K dan 8K). Siapa tahu, lagi 3 hingga 5 tahun akan datang, teknologi ini bakal menjadi kelaziman bagi kebanyakan isi rumah?

Sumber:

http://www.trustedreviews.com/opinions/quantum-dots-explained-what-they-are-and-why-they-re-awesome

https://en.wikipedia.org/wiki/Quantum_dot